Salam maghrib dan salam ngebul.
Hari ini baru lah admin berkesempatan untuk menulis serba sedikit info cigar untuk dikongsikan kepada warga #mypsj setelah seminggu dengan waktu yang sangat terbatas, akhirnya diberi ruang waktu oleh-Nya untuk menulis.
Bertemankan roti canai banjir baik punya dan air teh halia serta satu bowl tembakau Full Virginia dari SG dengan pipe jagung/Corncob jadi pilihan. Kita sambung topik yang lepas. Sekarang kita bercerita tentang komponen/struktur dalaman penghasilan cigar buatan tangan.
------------------------------------------------
ANATOMI SEBATANG CIGAR
------------------------------------------------
Sebatang cigar mengandungi tiga komponen utama iaitu Filler, Binder dan Wrapper.
-------------
A)FILLER
-------------
Filler adalah struktur ataupun intipati campuran yang paling penting untuk menghasilkan cigar. Boleh dikatakan ia berfungsi sebagai jantung kepada cigar.
Ia adalah bahagian terbesar dalam struktur cigar di mana terdapat 2 hingga 5 helai daun tembakau berlainan digulung bersama dan disusun bermula dari atas, tengah dan bawah.
Ramuan yang penting ini memainkan peranan yang besar dalam memberi rasa dan kesempurnaan kepada setiap cigar.
Di sini lah karektor cigar itu bermula. Keunikan serta cara penstrukturan/pengadunan ini sangat penting dalam menghasilkan identiti dan rasa yang berlainan pada setiap cigar.
Campuran daun-daun tembakau dari pelbagai negara juga menjadikan cigar unik dan berbeza antara satu sama lain.
Struktur dan Pembuatan Filler
------------------------------------------
Terdapat tiga jenis Filler yang berlainan (sila rujuk gambar). Ia akan digulung/dilipat bersama secara kemas dan teratur seperti kita dapat lihat di penghujung (Foot) setiap cigar. Lipatan/gulungan ini yang menentukan kualiti dan rasa cigar.
Di sinilah seni cigar buatan tangan. Ia samalah juga seperti sebuah karya ataupun seni kraftangan. Berlainan pula dengan proses pembuatan cigar dari mesin. Itu akan kita kongsikan pada entry akan datang.
Di dalam setiap Filler, terdapat tiga lapisan daun tembakau digunakan iaitu:
1-Ligero
Daun ini terletak di bahagian atas pokok tembakau (pucuk). Ligero paling banyak terdedah kepada cahaya kerana kedudukannya yang paling atas menyebabkan warnanya sedikit gelap.
Ligero juga merupakan daun tembakau yang kaya dengan perisa berbanding komponen lain Filler. Dalam ramuan untuk setiap cigar, biasanya Ligero berada di tengah kerana daun Ligero ini pembakarannya perlahan.
Kalau lenteng kita campur cengkih untuk slow burning dan penambah rasa, begitulah fungsi Ligero kepada cigar.
2-Seco (kering)
Daun ini diambil dari bahagian tengah pokok tembakau. Rasa dan warnanya lebih ringan berbanding dengan ligero. Kedudukannya di dalam Filler ialah lapisan selepas Ligero.
3-Volado
Volado merupakan daun dari bahagian bawah pokok tembakau. Ia digunakan untuk bahagian luar cigar (sesuai untuk penyalaan cigar). Volado juga memberi sedikit kesan kepada rasa tembakau.
---------------
B) BINDER
---------------
Binder adalah sehelai daun tembakau yang digunakan untuk menggulung filler. Akan dililit sekitar filler agar ia kemas dan rapi. Lebih tepat lagi disebut sebagai pengikat filler.
Binder melengkapkan kekuatan filler dan rasa, tetapi tidak menambah rasa yang lebih kepada cigar.
Ia biasanya tebal dan lebih kuat daripada pembalut luaran (wrapper). Binder dipilih kerana ketahanannya dan sering dijumpai di bahagian atas pokok tembakau (seko).
--------------------
C) WRAPPER
--------------------
Wrapper adalah daun balutan yang paling luar sekali. Ia adalah sehelai daun tembakau yang membaluti atau melilit kemas filler dan binder.
Wrapper haruslah sempurna dan cantik. Tiada kedutan, lubang atau kecacatan pada permukaan daun ini. Kerana ia akan menjejaskan rasa dan kualiti pada cigar itu sendiri.
Untuk pengetahuan pembaca, Wrapper adalah komponen yang paling mahal sekali di dalam proses membuat cigar.
No comments:
Post a Comment